Trending

"Dah Tak Boleh Dirawat" - Ramai Hiba Lihat Kuda Berpeluk Dengan Tuannya Buat Kali Terakhir [Video]

Sharifah Nur Syafiqah

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!

Melepaskan haiwan peliharaan yang mengalami sakit teruk dan tidak lagi boleh dirawat bukanlah sesuatu yang mudah buat pencinta haiwan.

Kadangkala, haiwan itu sudah terasa seperti anak atau kawan sendiri dan kematian mereka sememangnya amat menyedihkan.

Namun dalam kes tertentu, melepaskan haiwan kesayangan dengan kaedah 'put to sleep' (PTS) mungkin adalah pilihan yang lebih tepat untuk mengelakkan mereka daripada terus menanggung kesakitan dan terseksa.

Kuda Tidak Boleh Dirawat Lagi Akibat Tulang Rawan Berlubang

Itulah yang dapat dilihat menerusi video yang dikongsikan oleh seorang wanita di Threads (@rayna.aronia), apabila anak saudaranya terpaksa berpisah dengan kuda kesayangan.

Katanya, kuda yang digelar Buraq itu mengalami masalah tulang rawan berlubang dan tidak boleh dirawat lagi.

Meskipun tidak dijelaskan secara terperinci, namun ramai percaya kuda itu akan 'ditidurkan' (PTS), mungkin menerusi proses eutanasia.

"Buraq dah lama sakit. Kali ni Buraq betul-betul dah tak boleh dirawat. Tulang rawan dah berlubang, tunggu masa nak retak," katanya.

Kuda Seolah-Olah Memahami Perasaan Tuannya, Lentokkan Kepala Pada Bahu

Melihat kepada video yang dikongsi, kelihatan anak buahnya yang juga seorang remaja lelaki, sedang memeluk kuda berwarna putih itu di dalam kandangnya.

Apa yang menyentuh hati adalah saat kuda itu seolah-olah membalas kembali pelukan itu dengan meletakkan kepalanya di atas bahu remaja itu.

Malah saling tidak ubah seperti seekor kucing, kuda putih itu turut menggosokkan kepalanya kepada tubuh badan tuannya.

Satu gambar lain yang dikongsi pula menyaksikan remaja itu menutup mukanya menggunakan kain baju, dipercayai mungkin sedang menangisi situasi terbabit.

Hukum Lakukan Eutanasia Ke Atas Haiwan

Sekadar info, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menetapkan secara umumnya bahawa eutanasia ke atas binatang adalah tidak dibolehkan kerana termasuk sebagai pembunuhan tanpa sebab dan satu kezaliman terhadap makhluk bernyawa.

Namun dalam keadaan haiwan yang dalam keadaan kritikal sehingga terseksa akibat kesakitan dan tidak lagi boleh dirawat, pandangan yang mengharuskan eutanasia boleh diguna pakai. "Ini adalah berdasarkan pertimbangan bahawa kemudaratan membiarkannya hidup lebih besar daripada kemudaratan melakukan eutanasia," katanya.

Ramai Hiba Lihat Remaja Peluk Kuda Buat Kali Terakhir

Menjenguk ke ruangan balas, orang ramai meluahkan rasa hiba melihat interaksi antara remaja tersebut dan kuda putih itu yang kelihatan seperti memahami perasaannya.

Ada segelintir warganet berpendapat bahawa kuda adalah haiwan yang lebih manja berbanding kucing dan keadaan itu sememangnya sesuatu yang amat menyedihkan.

Dalam masa sama, terdapat individu yang berkongsi pandangan bahawa kuda merupakan haiwan yang sensitif dengan emosi manusia.

"Fun fact pasal kuda, kuda boleh kenal emosi kuda dan manusia lain. Jadi kuda tu tahu tuan dia tengah sedih," katanya.

Di samping itu, ada juga para netizen yang turut berkongsi pengalaman sedemikian bersama haiwan kesayangan mereka masing-masing. "Boleh faham dia. Dulu kucing saya, sedih dan hancur hati bila doktor kata tak ada ubat dan tak boleh sembuh. Tunggu masa untuk dia pergi," kongsi seorang wanita.

Related Articles

  • • Hampir 10% Individu Alami Sedih Melampau Selepas Kehilangan Kucing – Pakar Psikologi [Video]
  • • Sedih! 2 Minggu Oyen Kemurungan Lepas Tuannya Meninggal Dunia, Bawa Ziarah Pusara Untuk Lepas Rindu [Video]
  • • "Hitam Jangan Sedih"- Lembu Seperti Menangis Sebelum Dikorbankan Undang Perhatian Ramai [Video]
← Back to Previous Story